Isnin, 17 Oktober 2011

Hang sembang apa laa wahai Bashah oi..??



cucuk hidung sana cucuk hidung sini...habih yg kat penang nuu sapa yg kena cucuk hidungnya...


BN ajak Azizan sokong Akta Murtad
Oleh Nahar Tajri dan Mohd Nasaruddin Parzi
bhnews@bharian.com.my
2011/10/17

MB Kedah masih gagal nyatakan pendirian sokong atau tolak cadangan Mufti Perak

ALOR SETAR: Barisan Nasional (BN) Kedah semalam, meminta Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak memberi sokongan terhadap cadangan penggubalan Akta Murtad bagi menghukum mereka didapati bersalah memurtadkan umat Islam di negara ini.
Pengerusinya, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata Azizan masih gagal menyatakan pendirian sama ada menyokong atau menolak cadangan dikemukakan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang disokong Pemuda PAS Perak dan Mufti Kelantan, Datuk Shukri Mohamad.
Sehubungan itu, katanya, BN Kedah mempersoalkan sama ada PAS Kedah tunduk kepada tekanan DAP atau bimbang mengenai undi masyarakat bukan Islam terhadap parti itu terjejas pada pilihan raya umum nanti.

Katanya, PAS Kedah tidak mempunyai alasan tidak mahu menyokong akta itu kerana ia bersifat pencegahan menghalang mana-mana pihak daripada melakukan sebarang aktiviti memurtadkan orang Islam.

"Sepatutnya kerajaan Kedah pihak yang terawal menyatakan pendirian menyokong akta itu selaras dengan perjuangan Islam yang dibawa PAS," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat perhubungan UMNO negeri di sini, semalam.

Cadangan itu juga mendapat sokongan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir yang meminta kerjasama daripada PAS bagi melindungi akidah umat Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pertanian Industri Asas Tani, Datuk Mohd Johari Baharom, berkata PAS tidak serius dalam usahanya mengetengahkan serta memperjuang isu murtad dan pelaksanaan hukum hudud di negara ini, malah sering tunduk terhadap desakan DAP.

Katanya, sikap berdiam diri yang ditunjukkan kepimpinan tertinggi PAS setiap kali ditegur atau didesak oleh DAP menunjukkan parti itu bukan sebuah parti yang memperjuangkan Islam.

"Jika mereka benar mahu berjuang mengenai hukum hudud, mereka tidak perlu takut dengan desakan DAP sebaliknya terus dengan agenda mereka melaksanakan hukum itu, tetapi kini, bila DAP kata mereka berkeras tidak setuju, pemimpin PAS termasuk Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semua mengambil langkah berdiam diri.

"Ini contoh jelas menunjukkan pemimpin PAS kini hanya mahu sekadar mencari publisiti murahan demi kepentingan parti itu bagi mendapatkan sokongan dan undi rakyat di negara ini, " katanya ketika di hubungi semalam.

Johari berkata, gimik yang cuba ditunjukkan PAS ini perlu diperhalusi setiap penyokongnya kerana dikhuatiri akan terpedaya dengan perjuangan yang hanya bersandar kepada motif politik semata-mata.

"Saya mahu penyokong PAS tengok dan faham semua ini, sekarang ini banyak perkara yang membabitkan Islam terutama yang berlaku di Selangor (apabila ada cubaan memesongkan akidah umat Islam dibuktikan dalam hasil siasatan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) pada 3 Ogos lalu, " katanya.

Tiada ulasan: